Kelawar 
Pada satu waktu dahulu, Sang Kelawar tinggal di dalam gua. Seperti kebanyakan binatang yang lainnya , mereka mencari makanan pada waktu siang dan tidur pada waktu malam.
Suatu hari, kelawar merasakan kesunyian. Dia telah keluar pada jangka masa yang agak lama.
“Saya perlukan seorang kawan” kata kelawar.
Semasa ia terbang, kelawar telah nampak sekawan gajah. Gajah-gajah itu sedang makan tebu.
Sang Kelawar terbang kepada salah seekor gajah tersebut dan hinggap di atas kepalanya. “Saya ingin menjadi kawan anda,” ujar Sang Kelawar kepada Sang Gajah.
Gajah-gajah tersebut berasa gembira untuk mempunyai sahabat seperti Sang Kelawar tetapi dia harus memenuhi satu permintaan. Sang Kelawar mesti berjanji untuk menolong binatang-binatang di darat jika mereka berada di dalam kesusahan. Sang Kelawar bersetuju dan ia pun terbang pergi.
Suatu hari ,binatang-binatang di darat telah bertempur dengan burung-burung. Sang Gajah meminta pertolongan Sang Kelawar. Sang Kelawar bertempur bersama-sama Sang Gajah dengan beraninya. Akhirnya burung-burung dapat di kalahkan. Mereka semua gembira kerana dapat membantu binatang-binatang di darat.
Setelah beberapa lama Sang Kelawar berasa bosan dengan kawan barunya.
“Mengapa tidak aku berkawan dengan burung?” fikirnya.
Oleh itu, Sang Kelawar pergi berjumpa dengan Sang Helang, raja segala burung. Dia menyatakan hasratnya untuk berkawan dengan burung-burung.
“Awak boleh menjadi kawan kami” kata Sang Helang kepada Sang Kelawar.
“Tetapi apabila kami mengalami kesusahan, hendaklah engkau membantu kami”.
Sang Kelawar amat gembira dan berjanji untuk menolong Sang Burung.
Seminggu kemudian , binatang-binatang di darat sekali lagi bertempur dengan burung-burung. Tetapi kali ini Sang Kelawar berada di pihak Sang Burung. Dia bersama-sama bertarung melawan binatang-binatang di darat. Sang Gajah dan binatang-binatang di darat terkejut melihat Sang Kelawar menolong Sang Burung. Malangnya binatang-binatang di darat telah kalah di dalam pertempuran itu. Sang Kelawar gembira tetapi binatang-binatang di darat berasa sedih kerana Sang Kelawar adalah sahabat yang tidak setia.
Selepas peristiwa itu, binatang-binatang di darat tidak lagi memperdulikan Sang Kelawar. Mereka merasakan bahawa Sang Kelawar adalah sahabat yang tidak baik.
Sang Kelawar sedar akan kesilapannya. Dia terlalu malu untuk keluar di siang hari.
Semenjak itu, dia hanya keluar di waktu malam. Di siang hari, dia tinggal diam di dalam gua dan keluar di malam hari.
Kantung
Sebuah cerita dari Timur Tengah Moola berjumpa dengan seorang yang nampak gelisah sedang berjalan menyusuri jalan menuju ke pekan.
Orang itu menunjukkan sebuah kantung yang lusuh seraya mengeluh,”Semua yang aku miliki di dalam dunia ini adalah tersimpan di dalamnya”. “Sayang sungguh” kata Moola dan dengan itu juga terus merampas kantung tersebut dan berlari pergi.
Orang itu menangis kerana telah hilang segalanya dan ini membuatkan ia bertambah duka.Dia pun meneruskan perjalanannya. Sementara itu Moola membelok ke arah laluan orang itu dan meletakkan kantung yang dirampasnya tadi di tengah jalan di mana orang itu akan melaluinya.
Apabila orang itu melihat kantungnya terletak di atas jalan di hadapannya, dia pun tertawa dan menjerit” Kantungku!Aku ingat aku telah kehilanganmu!” Melihat dari sebalik semak, Moola berbisik pada dirinya.”
Ini adalah satu cara untuk membuat seseorang itu berasa gembira!”
Sebuah Dompet Emas
Seorang pengemis menjumpai sebuah dompet yang diperbuat dari kulit yang telah tercicir oleh seseorang. Dia mendapati ada 100 keping syiling emas di dalamnya.
Kemudian ia mendengar jeritan dari seorang peniaga, “ Hadiah! Hadiah akan diberikan kepada sesiapa yang menjumpai dompet kulit saya!”
Pengemis yang jujur itu datang ke hadapan dan menyerahkan dompet kulit tersebut kepada peniaga sambil berkata ”Ini dompet awak. Bolehkah saya mendapat hadiah sekarang?”
“Hadiah?” rengus peniaga sambil mengira syiling emasnya.”Dompet yang aku cicir ada 200 syiling emas di dalamnya.Engkau telah mencuri lebih dari hadiah yang ditawarkan. Pergi dari sini atau aku akan memanggil polis.”
“Aku seorang yang jujur,” kata pengemis dengan rendah diri. “Oleh itu,mari kita bawa perkara ini ke muka pengadilan.” desak peniaga.
Di mahkamah , hakim dengan sabar mendengar cerita dari kedua-dua belah pihak.
Kemudian hakim pun berkata,”Saya percaya kepada kedua-dua kamu. Keadilan boleh ditegakkan! Peniaga, anda mengatakan bahawa di dalam dompet anda mempunyai 200 keping syiling emas. Itu adalah sesuatu yang mahaldan banyak. Tetapi dompet yang pengemis jumpa mengandungi hanya 100 keping syiling emas. Oleh itu, ia bukanlah kepunyaan anda yang telah anda cicirkan”
Dengan itu, hakim pun menyerahkan dompet dan semua syiling emas itu kepada pengemis.
Antara Sabar dan Mengeluh
Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. “Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati.”
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, “Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini.”
Abu Hassan bertanya, “Bagaimana hal yang merisaukanmu ?”
Wanita itu menjawab, “Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, “Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?”
Jawab adiknya, “Baiklah kalau begitu ?”
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya.
Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua.”
Lalu Abul Hassan bertanya, “Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?”
Wanita itu menjawab, “Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda.
Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka.” Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah.
Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,: ” Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya.” Begitu juga mengeluh.
Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram.
Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,: ” Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasib orang.”
Dan sabdanya pula, ” Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka.”
(Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.
Bersabar terhadap isteri
Diceritakan, bahawa ada seseorang datang ke rumah Khalifah Umar Ibnul Khatab untuk mengadukan perangai buruk isterinya. Apabila dia tiba di rumah Khalifah tiba-tiba dia terdengar isteri Khalifah sedang mengankat suara mengata-ngata nista kepada Khalifah sedang Khalifah hanya berdiam diri sahaja, tiada menjawab sepatah pun.
Maka orang itu pun tidak jadi hendak mengadu , malah tergesa-gesa hendak kembali meninggalkan rumah Khalifah; maka dengan tidak semena-mena dia dipanggil oleh Khalifah seraya bertanya kepadanya.”Apakah hajatmu datang ke mari?”
“Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin” jawabnya.
“Mengapa datang jika tidak ada apa-apa?” tanya Khalifah.
Kata orang itu, “Sebenarnya, aku datang untuk mengadukan hal kelakuan buruk isteriku tetapi tiba-tiba saya mendapati tuan juga mengalami nasib yang serupa sama seperti saya.”
Berkata Khalifah Umar ” Wahai saudaraku, Aku terpaksa menanggung semua itu kerana aku terhutang budi kepadanya. Dia telah memasak makananku, membasuh pakaianku dan menyusukan anakku, padahal semua itu tidak wajib padanya. Dia juga menjadi tempat kemesraanku di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaimana dapat aku menentangnya? Jadi aku hanya bersabar dan mendiamkan diri sahaja?
“Wahai saudaraku! Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu.”
Duit Syilling
Seorang anak telah tertelan duit syiling 10 sen.. lalu dia memberitahu kepada ibunya.. tapi si ibu dengan tenang mengatakan yang syiling tersebut akan keluar sewaktu membuang air besar.
Pada masa si anak ini buang air besar, yang keluar bukan 10 sen tetapi 50 sen. Si ibu pun kehairanan, dia berpikir bila syiling ditelan maka akan keluar lebih banyak.
Tanpa pikir panjang.. si ibu pun terus menelan syiling RM 1.00 dengan harapan akan keluar wang kertas yang mempunyai nilai yang lebih besar. Pada masa membuang air besar, yang keluar adalah sekeping kertas…. Si ibu dengan senyum membuka kertas tersebut untuk melihat nilainya..
lalu dia mendapati ada tulisan berbunyi.. “ANDA BELUM BERUNTUNG.. SILA CUBA LAGI..”
Sapa pekak?
Udin pergi berjumpa doktor mengeluh tentang isterinya yang sudah hilang pendengaran. “Seberapa burukkah pendengarannya?” tanya doktor. “Entahlah, Doktor. Yang jelas saya mesti menjerit kalau nak berbual dengannya.”
“Okey, cuba buat macam nie. Berdiri sejauh 6 meter darinya, lalu katakan sesuatu. Kalau dia tak boleh dengar kamu, berdirilah lebih dekat sedikit darinya, lalu katakan yang kamu katakan tadi. Kalau dia tidak juga dengar, dekatkan jarak sedikit demi sedikit. Dengan begitu saya akan tahu berapa jarak maksima pendengarannya.”
Maka, Udin pulang ke rumah dan mendapati isterinya sedang memasak di dapur. Dari jarak 6 meter ia berteriak, “Makan apa kita malam ini?” Tak ada jawapan.
Lalu dia jalan depan sedikit lagi, berhenti di jarak 5 meter dan menanyakan hal yang sama. Juga tak terdengar jawapan. Begitu juga pada jarak 3 meter.
Akhirnya, ia berdiri di samping isterinya. “Makan apa kita malam ini?” katanya separuh menjerit.
Si isteri dengan mata yang berlinangan dengan air mata, lalu menjerit: “Untuk keempat kalinya aku beritahu, KARI KAMBING!!!!”
HIKMAH BERBAKTI KEPADA KEDUA IBUBAPA
Selain seorang nabi, Sulaiman a.s. juga seorang raja terkenal. Atas izin Allah ia berhasil menundukkan Ratu Balqis dengan jin Ifrit-Nya. Dia dikenal sebagai manusia boleh berdialog dengan segala binatang.
Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu. Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya.
Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman. Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan.
“Kubah apakah gerangan ini?” fikirnya.
Dengan meminta pertolongan Allah, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya dia begitu melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.
“Siapakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?” tanya Nabi Sulaiman keheranan.
“Aku adalah manusia”, jawab pemuda itu perlahan.
“Bagaimana engkau boleh memperolehi karomah semacam ini?” tanya Nabi Sulaiman lagi.
Kemudian pemuda itu menceritakan riwayatnya sampai kemudian memperolehi karomah dari Allah boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.
Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan menggendongnya ke mana jua dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya. Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.
“Setelah ibuku wafat aku berkeliling di atas pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah terbuat dari permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya.” Tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.
Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan di antara bumi dan langit itu menjadi kagum terhadap pemuda itu.
“Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?” tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut.
“Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah.”
“Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?” “Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah, dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu.”
“Bagaimana engkau mengetahui perbedaan siang dan malam?” tanya Nabi Sulaiman a.s yang merasa semakin heran.
“Bila telah terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Bila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam.” tuturnya.
Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali, dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya.
Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.
KISAH MALAIKAT JIBRIL DAN MALAIKAT
MIKAIL MENANGIS
Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahwa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid.
Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif.
Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali.
Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi.
Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin.
Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis. Dia (iblis) lupa akibat urusannya.
Maka Allah S.W.T telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, “Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah.”
Lalu Allah S.W.T berfirman yang maksudnya, “Aku membuat apa yang aku kehendaki.” Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam A.S kerana bangga dan sombong. Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud.
Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya. Kemudian Allah S.W.T merubahkan mukanya pada asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah S.W.T membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.
Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah S.W.T melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap empat, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.
Ketika Allah S.W.T membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril A.S dan Mikail. Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “Apakah yang membuat kamu menangis?” Lalu mereka menjawab, “Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu.” Firman Allah bagi bermaksud, “Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku.”
Setelah diusir, maka iblis pun berkata, “Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu.”
Lalu Allah berfirman yang bermaksud, “Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum.”
Berkata lagi iblis, “Tambahkanlah lagi untukku.” Allah berfirman yang maksudnya, “Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya.”
Berkata iblis lagi, “Tambahkanlah lagi untukku.” Lalu Allah berfirman dengan maksud, “Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah.”
Berkata iblis lagi, “Tambahkanlah lagi untukku.” Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, “Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram.”
“Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka.
” (Hal ini ada disebutkan dalam surah al-Isra ayat 64 yang bermaksud : “Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan.”
KISAH PENDITA YANG INSAF
Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialaminya.
Katanya, “Menurut kebiasaanku, aku keluar menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan kafilah.
Pada suatu kali, tiba-tiba aku tersesat jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang
rahib Nasrani (Pendita Kristian).”
Bila dia melihat aku dia pun berkata, “Wahai rahib Muslim, bolehkah aku bersahabat denganmu?”
Ibrahim segera menjawab, “Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu.”
Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku, katanya, “Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahwa aku telah menderita kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada padamu.”
Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun bermohon kepada Allah dengan berkata, “Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah engkau memalukan aku di hadapan seteru engkau ini.”
Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari langit berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka mereka pun makan dan minum bersama dengan seronok sekali.
“Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah tiga hari tiada makanan dan minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu, “Hai rahib Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan yang ada kamu.
Rahib itu menghadap kepada Allah, tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit seperti yang diturunkan kepadaku dulu.” Sambung Ibrahim lagi, “Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun berkata kepada rahib itu – Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku makan sehingga engkau memberitahukan (hal ini) kepadaku.”
Jawab rahib itu, “Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka jatuhlah telekan makrifah (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau. Sesungguhnya aku telah membuang-buang masa di dalam kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang kepada-Nya. Dengan kemuliaan engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka terjadilah kejadian yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu (kalimah syahadah).”
“Maka sukacitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu. Kemudian aku pun meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di masjidil haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi Kaabah.”
Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun berkata, “Hai Ibrahim, sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan Allah, maka peliharalah kamu akan persahabatan dan persausaraanku denganmu.”
Sebaik saja dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pulang ke rahmatullah. Seterusnya Ibrahim menceritakan, “Maka aku berasa amat dukacita di atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan hal-hal pemandian, kapan dan pengebumiannya. Apabila malam aku bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan yang begitu cantik sekali tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang indah.”
Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya, “Bukankah engkau ini sahabat aku kelmarin, apakah yang telah dilakukan oleh Allah terhadap engkau?”
Dia menjawab, “Aku berjumpa dengan Allah dengan dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan diampunkan-Nya semua itu kerana aku bersangka baik (zanku) kepada-Nya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di dunia dan berhampiran dengan engkau di akhirat.”
Begitulah persahabatan di antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama itu akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang dahulunya beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan kebaktian kepada Allah, maka dia ditarik kepada Islam dan mengalami ajaran-ajarannya.
Jibril a.s, Kerbau, Kelawar, dan Cacing
Suatu hari Allah SWT memerintahkan malaikat Jibril a.s untuk pergi menemui salah satu makhluk-Nya yaitu kerbau dan menanyakan pada si kerbau apakah dia senang telah diciptakan Allah SWT sebagai seekor kerbau. Malaikat Jibril a.s segera pergi menemui si Kerbau.
Di siang yang panas itu si kerbau sedang berendam di sungai. Malaikat Jibril a.s mendatanginya kemudian mulai bertanya kepada si kerbau, “Hai kerbau, apakah kamu senang telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai seekor kerbau?”
Si kerbau menjawab, “Masya Allah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah SWT yang telah menjadikan aku sebagai seekor kerbau, dari pada aku dijadikan-Nya sebagai seekor kelawar yang ia mandi dengan kencingnya sendiri”.
Mendengar jawaban itu Malaikat Jibril a.s segera pergi menemui seekor kelawar.
Malaikat Jibril a.s mendatanginya seekor kelawar yang siang itu sedang tidur bergantungan di dalam sebuah gua. Kemudian mulai bertanya kepada si kelawar, “Hai kelawar, apakah kamu senang telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai seekor kelawar?” “Masya Allah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah SWT yang telah menjadikan aku sebagai seekor kelawar dari pada aku dijadikan-Nya seekor cacing. Tubuhnya kecil, tinggal di dalam tanah, berjalannya saja menggunakan perutnya”, jawab si kelawar.
Mendengar jawaban itu pun Malaikat Jibril AS segera pergi menemui seekor cacing yang sedang merayap di atas tanah. Malaikat Jibril AS bertanya kepada si cacing, “Wahai cacing kecil apakah kamu senang telah dijadikan Allah SWT sebagai seekor cacing”. Si cacing menjawab, ” Masya Allah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah SWT yang telah menjadikan aku sebagai seekor cacing, dari pada dijadikaan-Nya aku sebagai seorang manusia. Apabila mereka tidak memiliki iman yang sempurna dan tidak beramal solih ketika mereka mati mereka akan disiksa selama-lamanya”.
KISAH PERLAWANAN ANTARA SEORANG LELAKI DAN IBLIS
Suami isteri itu hidup tenteram mula-mula. Meskipun melarat, mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali.
Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup. Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan is melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang. Ia mendekat. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu.
Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.
“Ini syirik,” fikir lelaki yang alim tadi.
“Ini harus dibanteras habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah.”
Maka pulanglah dia terburu buru. Isterinya heran, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih heran lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam.
Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis yang menyerupai sebagai manusia.
“Hai, mahu ke mana kamu?” tanya si iblis.
Orang alim tersebut menjawab, “Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah. Saya sudah berjanji kepada Allah akan menebang roboh pohon syirik itu.”
“Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti mereka. Sudah pulang saja.”
“Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras,” jawab si alim bersikap tegas.
“Berhenti, jangan teruskan!” bentak iblis marah.
“Akan saya teruskan!” Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis.
Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis menyerah kalah, meminta-minta ampun.
Kemudian dengan berdiri menahan kesakitan Iblis berkata, “Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan, saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja, jangan teruskan niat Tuan itu dulu.”
Mendengar janji iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan saja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.
Demikianlah, semenjak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi.
Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira.
Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas.
Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa.
Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi kecuali tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.
Si alim dengan lesu menjawab, “Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus.”
Keesokkan harinya, harap-harap cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong.
“Kurang ajar. Penipu,” teriak si isteri. “Ambil kapak, tebanglah pohon itu.”
“Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya,” sahut si alim itu.
Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang.
Katanya menyorot tajam, “Mahu ke mana kamu?” herdiknya menggegar.
“Mahu menebang pohon,” jawab si alim dengan gagah berani.
“Berhenti, jangan lanjutkan.” kata iblis.
“Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu tumbang.”
Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis yang kalah, tapi si alim yang terkulai.
Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh heran, “Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?”
Iblis itu dengan angkuh menjawab, “Tentu saja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata ku kumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampu menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu.”
Mendengar penjelasan iblis ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu.
Ia sedar bahwa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah, dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesia siaan yang berlanjutan . Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah dan agama.
Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu semata-mata ? “Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman.” Hadith Riwayat Muslim.