Lost World of Tambun popularkan kawasan alam semula jadi di pinggir Ipoh untuk tarikan pelancong asing
KESEMPATAN yang diberikan pihak pengurusan taman tema air Lost World Of Tambun (LWOT) di Ipoh, Perak kepada sekumpulan wartawan dengan menyertai kem perkhemahan selama dua hari, baru-baru ini sukar digambarkan dengan kata-kata.

Pengalaman perkhemahan itu adalah satu peluang yang tidak selalu hadir dan meskipun pelbagai kesukaran ditempuh, ia menjadi pengalaman manis buat mereka.
Pengalaman menarik itu turut dikongsi bersama petugas LWOT yang mana mereka bertindak sebagai koordinator dan juru pandu dalam program berkenaan.
Penjelajahan di sekitar kawasan yang kaya dengan alam flora dan fauna, selain hasil tinggalan sejarah itu menyerlahkan pelbagai rahsia dan keistimewaannya yang selama ini tidak diketahui.
CALVINHO menunjukkan bentuk
gua batu kapur.

Peluang menghabiskan masa di kawasan taman tema air yang dikelilingi gunung dan gua batu kapur semula jadi turut memberi peluang kepada setiap peserta mengambil gambar sebagai kenangan berlatar belakangkan alam semula jadi yang menarik.
Kawasan gunung dan gua batu kapur di Tambun, Perak itu adalah satu kawasan menarik yang dikatakan penempatan awal manusia yang hidup di zaman pra sejarah.
Ini dibuktikan dengan beberapa lukisan purba peninggalan sejarah lampau termasuk lakaran dugung pada dinding gua di kawasan berkenaan.
Pengurus Besar LWOT, Calvin Ho, berkata program terbabit dirancang bagi memberi ruang dan peluang pihak media meninjau dan menikmati keindahan alam semula jadi di samping merasai sendiri pengalaman meredah hutan belantara serta gunung dan gua di sekitar kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ia bertujuan mendedah dan mempopularkan kawasan terbabit kepada umum supaya menjadi tarikan bagi pelancong asing dan tempatan berkunjung ke Perak.
“Sememangnya kawasan alam semula jadi seperti ini menarik minat pelancong terutama pelancong asing yang suka menjalankan tinjauan dan kajian mengenainya.
“Pengurusan LWOT berasa perlu untuk mempromosi dan mendedahkan kawasan di sekitar Tambun ini kepada pengetahuan umum supaya ia menjadi lebih popular sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Semua peserta yang dibawa meneroka kawasan hutan di sekitar gunung dan gua di Tambun jelas mendapati ia mempunyai tarikan tersendiri dengan panorama mempesona.
Ditambah dengan tumbuhan hijau menghiasi kawasan sekeliling yang mendamaikan pandangan mata selain kewujudan stalaktit dan stalagmit pada beberapa sudut di dalam gua yang mengagumkan.
Beberapa batu di dalam gua kelihatan memiliki bentuk menarik yang ganjil dan aneh dengan identiti tersendiri.
Perjalanan menempuh Terowong Enam Batu (Six Mile Tunnel) di dalam Gua Datuk benar-benar mencabar peserta kerana perlu mengharungi kawasan berair sedalam kira-kira satu meter dengan jarak sejauh 700 meter.
Sepanjang perjalanan kira-kira satu setengah jam dengan diterangi cahaya lampu suluh yang dipasang di topi, peserta dapat merasai segala kepayahan yang pernah ditempuh masyarakat zaman dahulu kala.
Ini kerana laluan terbabit dipercayai pernah digunakan untuk pelbagai tujuan terutama ketika zaman darurat di negara ini.
Namun segala kepayahan dan keletihan tidak melemahkan semangat kerana semua peserta berasa perlu mengharunginya untuk menikmati segala keindahan peninggalan yang terdapat di laluan terowong berkenaan.
Malah, salah satu kewujudan yang menarik perhatian ialah batu kristal pelbagai warna.
Perkhemahan di kawasan gunung dan gua dengan diselang seli pelbagai aktiviti yang perlu disertai setiap peserta banyak membantu mewujudkan suasana ceria di samping mengeratkan hubungan serta semangat setia kawan.
LWOT turut menyediakan pelbagai kemudahan menarik untuk dinikmati orang ramai dengan tarikan utama sebuah kolam berombak seluas 3,200 meter persegi yang dilengkapi tujuh jenis ombak.
Juga disediakan sebatang sungai pengembaraan berombak terpanjang di Asia iaitu sepanjang 600 meter, selain Lembah Harimau yang menempatkan lapan ekor harimau terdiri daripada tiga harimau dewasa dan lima anak harimau.
Harimau dewasa dikenali sebagai Sultan (jantan) manakala harimau betina pula Jessie dan Raima. Lima anak harimau yang membabitkan Putra dan Rana (jantan) serta Aqila, Azian dan Jazz (betina).
Di samping itu, ada empat buah kolam air panas dengan paras suhu antara 40 hingga 50 darjah celsius untuk kemudahan pengunjung.
LWOT dibuka dari jam 11 pagi hingga 6 petang bermula Isnin hingga Jumaat dan antara 10 pagi hingga 6 petang pada Sabtu dan Ahad termasuk cuti umum manakala ditutup pada Selasa.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai LWOT boleh melayari lama web rasmi taman tema air itu di alamat www.sunway.com.my/lostworldoftambun.
FAKTA: Jumlah pelawat
INFO: Bagaimana ke sana?