Tanah persendirian dibuka lebih 30 tahun lalu sajikan pantai bersih, memutih, cantik untuk beriadah
Mengikut sejarah, Pulau Rawa adalah sebuah pulau persendirian dibuka lebih 30 tahun lalu oleh seorang kerabat diraja Johor, Tunku Mohammed Archibald pada 1971 untuk dijadikan lokasi memancing. Beliau kemudian membina resort Rawa Safaris.
Selepas 30 tahun, Rawa Safaris terus berubah jika dahulu hanya beberapa calet dibina, kini memiliki 67 calet yang semuanya berwarna hijau kelabu termasuk empat unit banglo dua bilik yang terletak di atas air, menghadap Laut China Selatan.
Selain banglo, Rawa Safaris mempunyai calet di tepi pantai, di kawasan berbukit dan calet berbentuk rumah panjang yang selesa untuk pilihan pengunjung mengikut bajet masing-masing.
Restoran De Rawa yang terletak di lokasi paling hadapan selepas jeti adalah satu-satunya tempat makan di pulau itu dan ia menyediakan makanan tempatan, barat dan Cina serta hidangan barbeku pada hujung minggu.
Di sebalik keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, kunjungan saya, jurugambar dan dua wartawan lain ke Pulau Rawa, baru-baru ini disambut dengan cuaca cerah walaupun beberapa jam sebelum itu dalam perjalanan dari Jemaluang ke Mersing terpaksa merempuh hujan lebat.
Penat lelah kami hilang sebaik melihat perkataan Rawa dari jauh, perkataan yang dibuat daripada batu di atas bukit boleh dilihat beberapa kilometer dari laut sebelum bot laju menurunkan kami di jeti.
Sebaik tiba, hati meronta-ronta ingin mencecahkan kaki di pasirnya yang lembut dan tidak sabar untuk terjun menyertai ikan berenang dalam air yang jernih dan bersih tanpa pencemaran.
Lebih menarik, bagi aktiviti snorkeling, pengunjung tidak perlu pergi jauh kerana di Pulau Rawa, terumbu karang terbentang di depan mata, hanya beberapa meter daripada gigi pantai.
Ketika kunjungan kami di pulau itu, tidak ramai pelancong tempatan dan jika ada pun hanya pasangan pengantin yang mengeksploitasi keindahan Pulau Rawa untuk rakaman gambar perkahwinan mereka sementara pelancong ‘Mat Saleh’ berjemur di pasir sambil membaca novel.
Ketua Pegawai Eksekutif Rawa Safaris, Azhar Ahmat, mengakui bahawa selama ini Pulau Rawa lebih dikenali di kalangan pelancong asing dan diplomat pelbagai negara yang bekerja di Singapura. Hanya bermula tahun lalu, promosi giat dijalankan untuk menarik warga tempatan mengunjungi pulau ini.
Selain snorkeling, skuba, tenis dan kayak, pengunjung boleh melakukan aktiviti jungle treking di laluan sejauh dua kilometer di pulau itu. Di hujung pulau pula ada sebuah teropong lama yang membolehkan pengunjung meneropong ke lautan luas terbentang dihiasi pulau Besar, Tengah dan Hujung serta tiga pulau tanpa pantai, Mensirip, Harimau dan Gaul.
Sebelum pulang ke Johor Bahru petang itu, kami menghabiskan masa hampir tiga jam lagi berendam dalam laut dan kali ini lebih menarik kerana hanya perlu turun di depan calet ketika air pasang, berbanding dua jam dalam air surut di kawasan berhampiran jeti, petang hari sebelumnya.

Biasanya, saya tidak gemar untuk berada terlalu lama dalam air laut kerana kasihankan kulit terbakar, tetapi pantai Pulau Rawa terlalu menggamit menyebabkan saya mengalah. Berlapis-lapis krim tabir suria disapu pada muka dan tubuh, kulit tetap terbakar.
Apalah sangat dengan kulit terbakar kerana lama kelamaan akan beransur pulih berbanding kepuasan berendam di pantai itu. Inilah yang saya namakan nikmat dunia.
FAKTA: Pulau Rawa
Bagaimana ke sana?
Dari Kuala Lumpur
Dari Johor Bahru